comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta mewah klon antara 7 kenderaan disita JPJ

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak tujuh kenderaan termasuk sebuah kereta mewah klon disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Operasi Khas di Batu Berendam dan Malim Jaya di sini, petang semalam.

Dalam operasi yang turut disertai anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selama dua jam berakhir 5 petang itu, tiga motosikal, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, turut disita sebuah kereta mewah jenis BMW 523i yang disyaki klon.

Menurut beliau, kereta terbabit dikesan dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Malim Jaya pada jam 1 petang.

“Hasil semakan mendapati nombor casis kenderaan tersebut tidak wujud dalam pangkalan data kenderaan yang direkodkan JPJ.

“Kenderaan tersebut juga menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan itu memperoleh kenderaan klon tersebut melalui media sosial selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Lelaki terbabit mendakwa dia membeli kereta berkenaan dengan harga antara RM20,000 hingga RM30,000 sahaja,” katanya.

Jelas beliau, kereta terbabit disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sabit kesalahan akan didenda di mahkamah atas Kesalahan guna kenderaan tidak didaftarkan, mempamer nombor pendaftaran kenderaan lain, menggunakan cukai jalan kenderaan lain dan tiada perlindungan Insurans..

“Kesemua kesalahan tersebut tidak boleh dikompaun dan pemandu kenderaan klon terbabit perlu hadir ke mahkamah bagi menjelaskan denda bagi setiap kesalahan yang dikenakan,” tegasnya.

Sementara itu dalam operasi tersebut, sebanyak 21 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas terhadap 25 kenderaan yang diperiksa.

Operasi berkenaan melibatkan 10 anggota JPJ dan 12 anggota penguatkuasa MPHTJ.

Loading...
Terkini