comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerja naik taraf paip di Gua Musang siap selewat-lewatnya akhir Jun ini

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

PETALING JAYA: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) nafi ada menerima aduan daripada peniaga Pasar Besar Gua Musang berkenaan isu bekalan air terputus di kawasan itu dalam tempoh setahun yang lalu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang,   Ab Pattah Hasbullah berkata, pihaknya tidak pernah menerima aduan daripada peniaga-peniaga berkenaan isu air di kawasan itu dan berpendapat para peniaga telah membuat aduan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Berkenaan isu ini, pihak MDGM tidak pernah dimaklumkan secara khusus oleh peniaga berhubung masalah tersebut. Mungkin aduan telah dibuat oleh pihak peniaga terus kepada pihak AKSB selaku penyedia perkhidmatan bekalan air di dalam pasar ini.”

Tambah beliau, aduan berkenaan isu air tersebut baru sahaja diterima oleh pihak MDGM.

“Hanya baru-baru ini pihak MDGM telah menerima aduan daripada peniaga berhubung masalah tekanan air rendah di tandas awam Pasar Besar dan menyebabkan bekalan sering terputus,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Beliau turut menambah, hasil semakan mendapati, ada penyewa yang mengambil kesempatan menyambungkan bekalan paip secara haram tanpa merujuk MDGM sekaligus menyebabkan saluran utama paip yang disediakan Air Kelantan tidak boleh menampung jumlah penggunaan air yang meningkat.

“Disebabkan pertambahan sambungan paip baru kepada premis-premis gerai yang tidak diselaraskan dengan pihak Majlis, paip bekalan masuk sedia ada dari saluran utama AKSB tidak dapat menampung penggunaan air yang meningkat ini. Ini menyebabkan masalah tekanan air menjadi rendah dan berlaku isu bekalan air terputus terutamanya ketika waktu puncak.”

“Persetujuan telah disepakati secara bersama, di mana pihak MDGM dan AKSB dalam tindakan menaiktaraf semula paip sedia kepada paip lebih besar bagi menampung pertambahan bilangan premis yang menggunakan bekalan air di dalam pasar besar tersebut,” katanya.

Kerja-kerja menaiktaraf ini dijangka mengambil masa selama dua bulan dan akan siap selewat-lewatnya pada akhir Jun ini.

Semalam, media melaporkan lebih 100 peniaga Pasar Besar Gua Musang kesal dengan isu bekalan air yang berlarutan sejak hampir setahun.

Loading...
Terkini