comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemulihan air di Pulau Pinang mendahului jadual, sebahagian kawasan mula terima bekalan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan meninjau kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua semalam. – FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Pemulihan bekalan air di Pulau Pinang mendahului jadual apabila kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah selesai lebih awal, iaitu pada malam semalam.

Susulan pencapaian itu, bekalan air disambung semula di sesetengah kawasan di Seberang Perai lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir.K.Pathmanathan berkata pihaknya telah menyiapkan semua kerja-kerja penyelenggaraan di LRA Sungai Dua dan 22 lokasi lain lebih awal daripada jadual semalam.

“Peringkat 1 pelan pemulihan bekalan air bermula dari 11 malam tadi (Rabu).

“Bekalan air dinormalisasi secara berperingkat hari ini untuk 197,025 pengguna air iaitu 33% daripada 590,000 pengguna yang terjejas di Seberang Perai.

“Peringkat 1 perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada jam 6.00 pagi esok (Jumaat) seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beberapa kawasan telah mula menerima bekalan air sejak malam tadi dan pagi ini, antaranya di Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang dijadualkan hanya akan menerima sambungan pada pagi Jumaat.

Manakala, sesetengah kawasan di Seberang Perai Selatan yang dijadualkan menerima bekalan air pada pagi Sabtu juga telah disambung bekalan air secara berperingkat sejak pagi tadi.

Tinjauan di Taman Tanjong dan Taman Intan Cempaka Batu Kawan mendapati kawasan kediaman dan premis perniagaan terdapat bekalan air dari awal pagi tadi.

“Sebelum ini terima notis kata seluruh Pulau Pinang tak ada air empat hari, tapi alhamdulillah sehari saja dalam masa 24 jam dah ada air, terima kasih kepada PBAPP uruskan cepat,” kata Rohaizah Mohd Roslan dari Taman Tanjong.

Menurut Mohamad Azahar, keluarganya telah menyimpan air yang mencukupi selama dua hari, namun lega apabila menerima air pagi ini.

“Dah simpan air dalam empat tong, mungkin cukup untuk dua hari, tapi dalam pukul 5 pagi tadi dah ada air di kawasan ini,” katanya.

Bagi Abdul Wahab Yusof yang menjalankan perniagaan sarapan pagi, sambungan semula bekalan air amat dialu-alukan.

“Kami semua dah siap air dalam tong-tong, tapi pagi ini dah ada air, alhamdulillah. Senang bagi kami orang berniaga,” katanya.

Pada masa yang sama, mereka juga menzahirkan harapan agar sambungan semula bekalan air ini berkekalan dan bukannya bersifat sementara.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini