comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama dengan Elon Musk bawa puluhan ribu peluang pekerjaan – PM

Oleh: Juliana Sharin

GOMBAK: Puluhan ribu peluang pekerjaan mahir bakal diwujudkan menerusi kerjasama dengan jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat (AS), Elon Musk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerjasama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX yang juga CEO Tesla Inc itu, antara lain bakal merancakkan lagi sektor kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata unjuran itu bakal direalisasikan menerusi pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman Tesla di Cyberjaya serta kerjasama di Petaling Jaya, Selangor.

Anwar yakin kerjasama dengan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink pula bakal memperhebat akses dan ketersambungan internet, sekali gus memberi peluang penduduk luar bandar mengakses kemudahan berkenaan.

“Starlink (perkhidmatan satelit) akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah, universiti untuk mendapat akses internet dengan cara yang murah. Walaupun 40 (satelit) disediakan awal, beliau beri pengakuan untuk memberi keutamaan kepada Malaysia. Bagi SpaceX pula, tiga syarikat Malaysia akan terbabit dalam projek ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Musk akan mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam masa terdekat.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Khairiyah di Taman Seri Gombak, Selangor.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan secara maya dengan Musk untuk membincangkan pelbagai pelaburan syarikat milik usahawan berkenaan di Malaysia.

Pertemuan maya itu bermula jam 9.30 pagi tadi dan berlangsung kira-kira 25 minit.

Loading...
Terkini