comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerugian sebenar petani dan pekebun terjejas banjir akan diketahui dalam tempoh sebulan selepas banjir pulih

Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman

PENGERANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menganggarkan tempoh sebulan untuk mengetahui jumlah sebenar kerugian yang dialami akibat banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya bersama agensi-agensi terlibat kini dalam proses membuat bancian dan mengumpul data mereka yang terjejas banjir.

“Kerugian yang dialami mereka yang terjejas itu sedang dalam proses bancian. Pihak NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MAFS dan FAMA juga sedang buat kajian.

“Nanti kita lihat, semua permohonan bergantung kepada kerosakan dan permohonan mereka yang terjejas banjir akan dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan Pengerang, di Kompleks LKIM Pengerang, pagi tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada Disember lepas, sektor pertanian dan agromakanan mengalami kerosakan dan kerugian berjumlah RM111.95 juta akibat bencana monsun timur laut (MTL).

Kerosakan dan kerugian itu meliputi sekitar 24,700 hektar kawasan pertanian dan 12,000 orang petani, penternak serta pengusaha agromakanan di seluruh negara.

Pada 28 Februari lalu, banjir sekali lagi melanda negeri ini sehingga menjejaskan 10 daerah dan lebih 50,000 mangsa terjejas banjir, menyamai bencana pada tahun 2006.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu memberi jaminan, bekalan bahan mentah termasuk sayur di Johor mencukupi menjelang ramadan meskipun masih terdapat beberapa daerah dilanda banjir.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa memastikan bekalan mencukupi.

Ia termasuk membawa bekalan daripada negeri-negeri lain termasuk Pasar Borong Selayang (Kuala Lumpur), Negeri Sembilan dan Cameron Highlands (Pahang).

“Insya-Allah. Dijamin oleh pihak FAMA akan dibawa dari tempat-tempat lain untuk memenuhi permintaan dalam bulan Ramadan.

Dalam majlis itu, peruntukan sebanyak RM29 juta telah diluluskan bagi menaiktaraf infrastruktur di Kompleks LKIM Pengerang.

“Peruntukan itu termasuk kerja-kerja membuang mendapan dan pembinaan groyne bagi mengelakkan hakisan pantai.

“Inisiatif itu diharap dapat membantu nelayan memperkukuhkan industri perikanan di Johor.” katanya.

Loading...
Terkini