comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes 1MDB, siasatan terhadap Roger Ng fokus modus operandi, kesan semula aset

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Bekas Pegawai Bank Goldman Sachs, Roger Ng kini tertumpu pada modus operandinya berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai USD6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan turut menjurus untuk mengenal pasti dan mendapatkan semula aset milik Roger Ng yang dipercayai diperoleh daripada hasil 1MDB.

Tambah Razarudin, Roger disiasat polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 kurungan satu, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 sebelum diserah kepada SPRM.

Setakat ini katanya, tiada had masa untuk siasatan dilakukan.

Siasatan pihaknya turut ke arah mendapatkan semula aset 1MDB yang berada di dalam dan luar negara membabitkan Roger Ng.

”Kita juga perlu lihat kepada MO dia, macam mana bon-bon ini dijual, berapa komisen dia, itu MO yang perlu kita ketahui daripada Roger Ng itu sendiri,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Selain itu, katanya polis juga akan membeku dan menyita segala akaun dan aset yang dimiliki oleh Roger Ng di luar negara, termasuk aset fizikal seperti pembelian rumah, kereta dan bangunan, serta aset bukan fizikal seperti akaun bank yang dimilikinya di luar negara.

Ditanya sama ada siasatan ke atas Roger Ng akan membantu polis mengetahui keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, Razarudin berkata, PDRM yakin akan mendapatkan maklumat itu daripada siasatan yang dilakukan.

Mengenai lokasi Roger Ng ditahan, Razarudin memaklumkan keselamatan lelaki itu dalam bahaya jika lokasinya didedahkan.

Loading...
Terkini