comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes baharu ASF di sebuah lagi ladang ternakan babi di Valdor 

Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang kelihatan mengawal laluan keluar masuk di sebuah ladang ternakan babi di Valdor, Sungai Bakap di sini, susulan terdapat rekod kes Demam Babi Afrika (ASF) di ladang terbabit. JPV turut kelihatan mengawal pintu keluar masuk serta menutup keseluruhan ladang terbabit. Foto: NSTP/DANIAL SAAD

GEORGE TOWN: Sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini ditutup bermula hari ini ekoran kes baharu penyakit demam babi Afrika (ASF) dikesan di ladang berkenaan.

Penutupan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang itu, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kes baharu ASF itu dan tindakan segera diambil untuk menutup ladang berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pelupusan lebih 1,000 ternakan di situ.

“Memandangkan di kawasan Valdor ada 42 ladang ternakan babi, jadi kita putuskan bencana ini dinaikkan taraf daripada daerah kepada negeri kerana pejabat daerah( SPS) mempunyai sumber yang terhad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival LovePENANG, di Padang Kota Lama, di sini malam ini.

Dalam pada itu, Chow berkata beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd  Sayuthi Bakar mengadakan mesyuarat pengurusan bencana peringkat negeri esok bagi membincangkan isu ASF itu.

Menurutnya semua jabatan yang terlibat diharap dapat digembleng bagi mengambil tindakan segera mengawal wabak tersebut daripada merebak ke ladang ternakan babi lain sama ada di SPS atau daerah lain di Pulau Pinang.

“Kami juga berjumpa dengan wakil persatuan penternak untuk meminta mereka memberi kerjasama dan arahan selanjutnya akan dikeluarkan pihak pengurusan bencana negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Veterinar Negeri Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata JPV mengambil langkah segera dengan mengarahkan operasi ladang ternakan berkenaan ditutup serta merta selepas mendapat keputusan positif ASF pagi tadi.

“Setakat ini terdapat dua (kes) positif ASF ditemukan, jadi tindakan daripada JPV adalah sama iaitu akan tutup ladang, tindakan pelupusan (binatang ternakan) dan kesan pergerakan (lori mengangkut ternakan supaya tidak rentas daerah atau negeri),” katanya ketika dihubungi.

Katanya berdasarkan data bancian JPV negeri terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi. – BERNAMA

Loading...
Terkini