comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buli di MRSM: ‘You touch, you go’ – Asyraf Wajdi

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli jika dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali menutup sebarang perilaku curang yang dilakukan oleh mana-mana pelajar walaupun anak orang kenamaan.

“Maaf, MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk kes buli di MRSM, jauh sekali untuk menutup sebarang perilaku curang.

“Biarlah anak VIP atau VVVIP mana sekalipun, you touch you go (anda buli, anda akan disingkir),” tegasnya menerusi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataannya itu dipercayai sebagai ulasan kejadian buli yang sebelum ini tular di sebuah sekolah berasrama elit di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM).

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menegaskan tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

KPM dalam kenyataannya, berkata pihaknya mengambil perhatian laporan media mengenai kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh yang tular, namun tidak menjelas bentuk tindakan diambil dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu, KPM berkata, tiga saluran utama disediakan bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual di sekolah iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, emel [email protected] dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berpandukan hantaran yang tular di media sosial, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku buli terbabit yang dikatakan sekadar diarah berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah, berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah, walaupun mangsa kejadian itu mengalami kecederaan.

Menyusuli kejadian itu, PIBG MCKK dalam kenyataan di Facebook, mendakwa kes buli itu sudah selesai disiasat dan diambil tindakan secara dalaman oleh pentadbiran sekolah.

Justeru itu, PIBG MCKK mengambil beberapa pendirian termasuk menganggap keputusan sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Namun, tindakan PIBG MCKK menyelar ibu bapa pelajar yang mendedahkan kejadian itu atas alasan mencemar nama baik sekolah mengundang kecaman orang ramai khususnya menerusi media sosial.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini