comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi meningkat 11.2% minggu lalu, satu kematian direkodkan

PETALING JAYA: Sebanyak 2,988 kes demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-48 iaitu 26 November hingga 2 Disermber lalu, peningkatan 302 kes atau 11.2% berbanding 2,686 kes minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, terdapat satu kes kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam tempoh sama.

Katanya, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME ke-48 adalah sebanyak 111,417 kes berbanding 58,239 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 53,178 atau 91.3 peratus.

“Sejumlah 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME ke-48 adalah sebanyak 95 lokaliti berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari 95 lokaliti yang dilaporkan, 71 lokaliti di Selangor, 10 lokaliti di WPKL & Putrajaya, lapan (8) lokaliti di Perak, empat (4) lokaliti di Sabah serta masing-masing satu (1) lokaliti di Johor dan Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan survelan chikugunya merekodkan empat kes dan satu wabak aktif dilaporkan pada ME ke-48 menjadikan jumlah kumulatif kes chikugunya sehingga kini adalah 192 kes.

Tambahnya, bagi survelan zika pula, sebanyak 3,479 sampel darah dan 379 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Beliau berkata, peningkatan curahan hujan berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) menjadi antara punca berlakunya peningkatan kes denggi dan menjadi penyumbang kepada peningkatan bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan masyarakat melaksanakan tindakan pencegahan dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti bekas yang boleh menakung air bersih, jernih serta terlindung daripada cahaya matahari.

“Lakukan aktiviti cari dan musnah di dalam dan di luar premis, 10 minit sekali seminggu, selain meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik pada bekas yang ada air jernih bertakung seperti dalam pam tandas, dalam mangkuk tandas yang tidak digunakan atau rosak ataupun dalam kolah.

“Melakukan semburan aerosol dalam premis pada waktu awal pagi dan lewat petang bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Memakai baju lengan panjang dan seluar panjang serta memakai repelan atau bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk,” katanya.

Ujarnya, setiap lapisan masyarakat perlu bertanggungjawab, bertindak proaktif dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini