comscore
Tumpuan :
Nasional

5 lagi kematian akibat denggi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-44 bagi tahun ini (ME44/2023) dari 29 Oktober hingga 4 November lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 78 kematian, berbanding 35 bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pada ME44/2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,221 kes berbanding 2,272 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 51 kes (2.2 peratus).

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME44/2023 adalah sebanyak 100,936 kes berbanding 51,262 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 49,674 (96.9 peratus),” katanya.

Sebanyak 67 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME44/2023 berbanding 68 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 47 lokaliti di Selangor, lapan lokaliti di Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya (5), Negeri Sembilan (2), Kelantan (2) serta masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.

Bagi survelan chikungunya, menurut Dr Muhammad Radzi, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi tersebut dengan jumlah kumulatif kes penyakit terbabit sehingga kini adalah 181 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 3,065 sampel darah dan 316 sampel urin telah dijalankan dan hasil kesemua adalah negatif.

“Vektor penyakit demam denggi adalah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Nyamuk Aedes aegypti cenderung berada di dalam rumah manakala nyamuk Aedes albopictus kebiasaannya dijumpai di luar rumah.

“Nyamuk Aedes tinggal di habitat yang berhampiran dengan manusia (domestik) dan pada kebiasaannya menggigit pada awal pagi atau lewat petang. Kebanyakan tempat pembiakan Aedes didapati pada struktur dan bekas buatan manusia, sampah terbiar dan bekas-bekas atau struktur yang dapat menakung air,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk melakukan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan mencegah daripada gigitan nyamuk dalam memutuskan rangkaian jangkitan demam denggi.

Selain itu, penggunaan penghalau nyamuk elektrik, pemakaian repelan, memakai pakaian yang berlengan panjang atau berseluar panjang dan mengurangkan aktiviti luar di waktu puncak dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini