comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes kontena terbang: SPRM rampas RM4.4 juta disyaki wang rasuah

 

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 17 individu membabitkan 11 pegawai kastam, selain enam individu iaitu pengarah, pekerja syarikat, seorang runner dan kekasihnya, bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini, SPRM telah merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.

SPRM juga turut menyita empat unit motosikal Yamaha XMAX setiap satunya berharga kira-kira RM28,000.00, Toyota Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai.

“Semua sitaan ini adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini.

“Susulan siasatan ini juga, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu telah dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, SPRM juga dalam proses mengesan akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek sindiket.

Katanya, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga telah memeriksa semua 19 kontena yang disita sebelum ini dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rims, kenderaan, part kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya.

“Sindiket penyeludupan ini dikesan telah membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan dalam kontena itu sebagai barangan tidak bercukai seperti wheel chair, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan.

“Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit.

“Ini adalah antara kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan membabitkan isu ketirisan hasil negara.” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap semua individu terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya, tindakan mengesan dalang utama sindiket itu sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM memberikan kenyataan bahawa negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan kini dalam perhatian SPRM bagi mengesan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini