comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes samseng jalanan, polis cari mangsa, saksi 

Tangkap layar video tular aksi samseng seorang lelaki tanpa memakai baju memukul seorang penunggang motosikal di Cheras Perdana. – Foto ihsan pembaca

KAJANG: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipukul seorang lelaki tidak berbaju dalam kejadian di Cheras Perdana, yang tular di media sosial, sejak semalam.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Polis cari mangsa pukul lelaki samseng

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian disyaki berlaku jam 11.25 pagi Jumaat lalu.

Rakaman itu menunjukkan sebuah motosikal keluar secara tiba-tiba dari satu persimpangan sebelum berlanggar dengan sebuah motosikal lain.

“Seorang lelaki tanpa memakai baju menunggang sebuah motosikal melalui jalan utama itu gagal mengawal kenderaan lalu melanggar motosikal yang keluar dari simpang.

“Lelaki tanpa memakai baju itu terus bertindak memukul penunggang motosikal berkenaan dengan menggunakan tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaid berkata, video berdurasi 30 saat yang memaparkan kejadian berkenaan dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kereta  sebelum dimuat naik dan tular di laman Telegram Info Semasa Official, sejak semalam.

“Sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa laporan berhubung kemalangan atau kejadian pukul tersebut daripada pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 279 dan 323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh menghubungi balai berhampiran atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804,” katanya.

Loading...
Terkini