comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesan bau minyak di Sungai Batang Penar dari kilang

Foto hiasan

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui kesan bau minyak di Sungai Batang Penar yang disyaki punca operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, dekat Port Dickson terpaksa dihentikan hari ini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, bau yang sama dijumpai di sebuah kilang, namun tidak menemui puncanya.

“JAS Negeri Sembilan menerima maklumat kira-kira jam 7.30 pagi mengenai pencemaran itu sebelum menggerakkan pasukan jam 9.30 pagi bagi mengesan puncanya.

“Pasukan siasatan JAS bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) menjalankan pemeriksaan di lembangan Sungai Linggi sebelum menemui bau disyaki bahan bakar sama ada petrol atau diesel di Sungai Batang Penar,” katanya yang dilapor Harian Metro hari ini.

Tambah beliau, pasukan penyiasat kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke kilang yang berhampiran kawasan penemuan.

“Sebuah kilang dikesan menghasilkan bau sama pada air sungai. Bagaimanapun, punca pencemaran tidak dapat ditemukan, hanya terdapat kesan minyak dan bau yang disyaki petrol atau diesel di dalam longkang di dalam kawasan premis,” katanya.

Justeru beliau berkata, tiga sampel diambil untuk analisa komposisi iaitu di Sungai Batang Penar, longkang dalam premis dan longkang keluar daripada premis.

“Arahan dikemukakan kepada premis bagi tindakan serta merta untuk membendung apa-apa efluen keluar daripada premis ke longkang awam. Siasatan diteruskan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan operasi LRA) Sungai Linggi, terpaksa dihentikan sementara waktu selepas mengesan bau minyak yang tinggi iaitu sebanyak 19 ton.

Pusat Khidmat Pelanggan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) memaklumkan, susulan masalah kualiti air mentah itu, berlaku gangguan bekalan air di sekitar Port Dickson dan kawasan sekitarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini