comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM catat 39 kes kumulatif berkaitan cuaca panas

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 39 kes kumulatif berkaitan cuaca panas direkodkan dari 16 April hingga 10 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, 23 kes melibatkan kelesuan haba, kejang haba (11) dan strok haba (5).

“Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 kes di Kelantan, Sabah (9), Sarawak (8), Melaka (4), Terengganu (3), Kedah (2) manakala masing-masing satu kes di Pahang, Kuala Lumpur serta Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut pecahan umur, golongan dewasa mencatatkan 25 kes, remaja sebanyak sembilan kes, kanak-kanak tiga kes dan dua kes melibatkan warga emas.

Foto hiasan

Kes kematian kekal satu iaitu akibat strok haba seperti yang berlaku pada 25 April lalu.

Kesemua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah discaj,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata negara kini berada dalam Monsun Barat Daya dan El Nino lemah sehingga September 2023 yang berpotensi menyebabkan cuaca dalam negara menjadi lebih kering berbanding Monsun Barat Daya pada 2020 hingga 2022.

Beliau berkata keadaan cuaca kering yang berpanjangan itu juga berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan sekali gus menyebabkan bekalan air bersih terganggu, kejadian kebakaran terbuka dan  jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

Orang ramai juga digalakkan untuk kerap minum air dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka. Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya. – BERNAMA.

Loading...
Terkini