comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM rampas produk farmasi berisiko bernilai lebih RM500,000

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal berisiko dan berbahaya bernilai lebih setengah juta ringgit menerusi Operasi Pangea XVI, yang berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober lalu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim, berkata rampasan itu adalah hasil pemeriksaan dan serbuan di pelbagai lokasi termasuk di semua pintu masuk utama negara membabitkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

Sebanyak 330 bungkusan pos diperiksa dan 58 daripadanya mengandungi produk farmaseutikal tidak berdaftar.

“Jumlah keseluruhan rampasan di semua lokasi ini adalah sebanyak 13,552 unit dengan nilai rampasan RM132,498 dan produk paling banyak dirampas adalah kosmetik (2,359 unit), produk merawat penyakit gastrik (2,243 unit) dan steroid (1,673 unit).

“Sebanyak 45 premis menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, klinik dan premis perniagaan turut diserbu dengan 96,691 unit produk farmaseutikal menyalahi undang-undang dirampas membabitkan nilai RM417,291,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Norhaliza berkata,sebanyak 1,465 unit ubat penahan sakit dan 1,343 unit suplemen kesihatan turut dirampas di pintu masuk utama serta pusat pengedaran mel di seluruh Malaysia.

Katanya, kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India.

“Serbuan dalam operasi kali ini menyasar bahan psikotropik yang menyalahi undang-undang dan hasilnya Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM merampas produk tradisional yang dicampur palsu dengan steroid.

“Rampasan turut dibuat ke atas ubat penahan sakit dan ubat batuk tidak berdaftar serta dijual oleh penjual tidak berlesen dan tidak diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952.

Hasil serbuan ini, sebanyak 12 fail siasatan dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya.

KKM turut mengesan 1,675 pautan laman sesawang termasuk akaun media sosial dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi yang mana 76 peratus daripada pautan ini adalah dalam platform e-dagang.

Semua pautan itu kemudiannya diadukan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), penyedia platform media sosial dan e-dagang untuk disekat akses serta diturunkan kandungan.

“Semua operasi ini diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM dengan kerjasama Biro Pusat Kebangsaan (NCB), INTERPOL Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan MCMC,” katanya.

Operasi Pangea adalah operasi bersepadu dikoordinasikan INTERPOL yang menyasar pengiklanan, pembekalan dan penjualan secara dalam talian membabitkan produk farmaseutikal tidak berdaftar atau dicampur palsu di seluruh dunia.

Loading...
Terkini