comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM sasar nisbah satu doktor kepada 400 penduduk pada 2025

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 penduduk menjelang 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Petunjuk Kesihatan Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh KKM, nisbah doktor kepada penduduk pada tahun 2022 telah mencapai nisbah satu doktor kepada 412 penduduk.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan memuaskan berbanding nisbah satu doktor kepada 758 penduduk pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi bilangan doktor di fasiliti KKM termasuk di hospital.

“Antara inisiatif yang telah dan sedang dijalankan ialah meningkatkan slot latihan siswazah di KKM daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 12,198 slot pada tahun 2024 bagi tujuan latihan siswazah perubatan.

“Kita juga menawarkan skim perubatan mempunyai gred dan gaji yang lebih menarik selain memberikan elaun lain yang terdapat hanya dalam skim perubatan seperti bayaran insentif pakar, elaun lokum dan elaun tugas atas panggilan,” jelasnya.

KKM turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan swasta untuk menarik minat pelajar mengambil jurusan perubatan.

Mengulas lanjut, kementerian juga sedang dalam peringkat akhir bagi memperhalusi beberapa polisi baharu berkaitan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan KKM melalui program Reformasi Sumber Manusia yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali mengenai nisbah semasa doktor dan pesakit serta usaha agresif dalam menangani kekurangan pegawai perubatan yang kritikal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini