comscore
Tumpuan :
Nasional

Rafizi jumpa kerajaan Sarawak minggu depan, bincang isu PADU

Abang Johari dan Wan Junaidi menghadiri Sambutan Nuzul Quran di Masjid Al-Mutaqqin, Kota Samarahan, malam tadi. – Foto NSTP

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan dikunjungi Kementerian Ekonomi bagi membincangkan isu penangguhan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan pegawainya mengesahkan akan berkunjung ke Kuching dalam pertemuan dijadual minggu depan.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak mengalu-alukan kesediaan Rafizi untuk mengetahui dengan lebih terperinci kenapa pendaftaran PADU diarahkan ditangguh di Sarawak.

“Beliau sendiri (Rafizi) ada menyatakan hendak mengetahui lebih lanjut kenapa kita minta ditangguhkan dan kita ada menjelaskan (sebelum ini) bahawa ia adalah berkaitan dengan privasi.

“Kita mahu (penjelasan) butiran lain dari sudut kerahsiaan maklumat peribadi kerana kalau terlalu banyak didedahkan yang tiada hubung kait dengan kedudukan kewangan, maka tidak munasabah untuk mendedahkan butiran dengan begitu terperinci” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak, yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Masjid Al-Mutaqqin, di sini, malam tadi.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang; isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Pelancongan, Industri Krearif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Seri Julaihi Narawi.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak merujuk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 sebelum memutuskan untuk mengarahkan pendaftaran PADU ditangguhkan.

“Di bawah akta ini juga ada menyatakan mesti ada had untuk kita mendedahkan maklumat peribadi dan ia selari dengan peruntukan dalam perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan.

“Mengikut peruntukan undang-undang itu, anda berhak untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi, tetapi jika ia ada kaitan dengan pendapatan dan juga keadaan ekonomi, sudah tentu data itu relevan,” katanya.

Beliau mengakui, Kementerian Ekonomi pernah berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai maklumat yang diperlukan PADU sebelum ini.

“Rakyat kita sudah mengisi borang melalui pejabat residen, pejabat daerah serta ketua masyarakat dan kita bantu salurkan maklumat yang dikehendaki oleh Kementerian Ekonomi.

“Tetapi apabila borang (PADU) keluar, nampaknya terlalu banyak sangat pula maklumat peribadi dikehendaki termasuk ada juga yang membabitkan keluarga yang tidak sepatutnya didedahkan,” katanya.

Abang Johari berkata, walaupun mengarahkan penangguhan pendaftaran PADU, kerajaan Sarawak tetap menyokong objektif inisiatif Kerajaan Persekutuan itu dalam pengagihan bantuan serta subsidi bersasar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini