comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kon Yeow mohon maaf kerja letupan terkawal rosakkan kereta, bumbung kawasan rehat kondo

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjawab soalan media ketika sidang media di Tingkat 28, Komtar hari ini.-Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini memohon maaf kepada penduduk Kondominium Jay Series yang terjejas akibat kerja meletupkan batu bagi pelaksanaan projek lebuh raya Jalan Pintasan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam di sini, semalam.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menyifatkan insiden yang merosakkan beberapa buah kereta, bumbung tempat rehat selain mengenai kolam renang di premis terbabit tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

“Kita mohon maaf kepada penduduk-penduduk berdekatan yang mengalami kerosakan (kenderaan serta fasiliti) dan pihak kontraktor akan bertanggungjawab untuk memulihkan kerosakan berkenaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, beliau difahamkan kerja peletupan terkawal itu dijangka berbaki kira-kira 200 kali lagi dan beliau berharap pihak kontraktor dan pasukan projek akan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di tapak projek berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus menjawab soalan media ketika sidang media di Tingkat 28, Komtar hari ini.- Foto: NSTP

“Saya mendapati kerja letupan ini sudah dilakukan lebih 600 kali tapi saya tidak kata oh nasib baik cuma berlaku sekali kerana walau sekalipun sepatutnya tidak dibenarkan.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata insiden pada jam 11 pagi itu dianggarkan menyebabkan kerosakan kurang daripada RM20,000.

Beliau berkata proses peletupan batu terkawal yang dijalankan di kawasan cerun projek dinamakan CH1875 itu adalah antara skop kerja utama Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang telah dimulakan sejak Januari 2022 dan dijangka siap pada 2025.

Menurutnya kontraktor dilantik telah mengambil tindakan pembaikan kesan kerosakan disebabkan jatuhan bongkah tanah yang antaranya membabitkan saiz sebesar bola takraw selain pengesanan pemilik kereta terlibat masih dalam tindakan pihaknya.

Menurutnya, syarat jarak ditetapkan ialah 70 meter dalam kawasan projek tetapi disebabkan beberapa faktor, bongkah tanah tersebut meletup melepasi keluasan ruang yang ditutup lapisan pelindung keselamatan dan melayang kira-kira 100 meter daripada jangkaan normal.

“Tanah kawasan itu ialah jenis laterit yang mana tanah berubah daripada berpasir kepada sifat tanah liat apabila mempunyai kandungan air tinggi kesan hujan lebat pada malam sebelum kejadian menyebabkan tanah berubah menjadi butiran bongkah tanah.”

Tambahnya, bongkah batu di kawasan letupan tersebut turut mempunyai ‘fault line’ atau garisan sesar dan menyebabkan bongkah batu besar itu tidak berada dalam keadaan padu dan terdapat rongga-rongga kecil yang mempunyai tekanan di bahagian dalamnya yang mana apabila bahan letupan meledak, ia menghasilkan bunyi dan tekanan kuat melebihi kebiasaan.

Menurutnya, pihak kontraktor telah diarah untuk mengurangkan kedalaman gerudi dan berat bahan letupan bagi mengawal kekuatan kesan letupan bagi mengelakkan kejadian itu berulang.

“Selain itu kontraktor juga diarah memastikan pelindung keselamatan iaitu lapisan penutup tanah, jejaring besi dan geotekstil serta guni pasir meliputi kawasan yang lebih besar dan menyeluruh daripada 1.8 meter kepada 2.4 meter dari lubang letupan.”

Lokasi kejadian melibatkan kawasan kondominium Jay Series berpunca daripada bongkah tanah yang berterbangan kesan daripada kerja peletupan batu terkawal di kawasan cerun projek di lokasi CH1875. Foto Penang Infrastructure Corporation.

Katanya, ia bertujuan untuk menampung kemungkinan masalah rongga batu dan keadaan luar jangka selain menambahkan beban tanah di atas dan sisi dengan tambahan plat keluli dan blok ‘kentledge’ (logam pemberat) sebagai pelindung keselamatan tambahan bagi mengurangkan impak letupan.

Menurut PIC, Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam itu merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.

Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ini akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar lima minit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini