KUALA LUMPUR: 194 rakyat pelbagai negara termasuk dari Malaysia tiba di Jeddah dengan selamat dari Port Sudan menggunakan kapal Tentera Laut Arab Saudi.
Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan berkata, mereka dibawa keluar dari Sudan yang sedang berdepan dengan pergolakan perebutan kuasa menggunakan kapal tentera H M S Abha.
Menurut kenyataan itu, kerajaan Arab Saudi sudah membantu mengeluarkan 2,351 orang daripada pelbagai negara membabitkan 119 rakyat negara itu dan 2,232 rakyat daripada 67 negara.
Arab Saudi menerima beberapa pusingan pemindahan melalui udara dan laut sejak pertempuran meletus di negara ketiga terbesar di Afrika itu pada 15 April.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan 30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Port Sudan menaiki kapal tentera Arab Saudi menuju ke Jeddah.
Perjalanan merentasi Laut Merah itu mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.
Ketika ini, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sedang mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini misi evakuasi rakyat Malaysia di Sudan.