comscore
Tumpuan :
Nasional

Pindaan terbaharu AUKU buka ruang luas pembabitan mahasiswa di kampus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terbabit dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa.

Pindaan mendapat undian sebulat suara Ahli Parlimen itu membabitkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Terdahulu, RUU itu dibentang bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentang pada 27 Nov 2023 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ini adalah pindaan terbaharu ke atas akta itu selepas kali terakhir pada 10 Disember 2018, iaitu pemansuhan sepenuhnya Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan terbaharu ini menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Selain itu, pindaan menyaksikan penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, seksyen itu masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terbabit dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan berkenaan di buat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana badan pelajar universiti.

Pindaan ke atas Seksyen 48(4) Jadual Pertama AUKU, membolehkan Pihak Berkuasa Universiti iaitu lembaga menguruskan tempoh pelantikan MPP dalam tempoh peralihan selepas tamat tempoh lantikan sehingga pilihan raya kampus diadakan, dengan tempoh lantikan MPP dipinda daripada satu tahun kepada satu tahun akademik.

Pindaan Seksyen 48(11) akta berkenaan pula membenarkan MPP membuka dan mengurus akaun dengan mana-mana institusi kewangan yang sah.

Bagi pindaan ke atas Seksyen 48(12A), diwujudkan peraturan am yang akan dijadikan sebagai panduan kepada MPP dan pemegang jawatan dalam menguruskan kumpulan wang atau akaun, contohnya untuk tujuan pengeluaran resit rasmi bagi penerimaan wang, sumbangan yang boleh diterima dan lain-lain.

Pindaan terakhir ke atas akta itu membabitkan Seksyen 49(2), yang menyaksikan badan pelajar universiti menerima kemudahan sama seperti yang diterima oleh MPP.

Ketika menggulung RUU pindaan itu,  Datuk Seri Zambry menjelaskan, penubuhan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar tidak akan membabitkan penyertaan wakil pelajar.

“Cadangan menambah wakil pelajar ke Jawatankuasa Tatatertib Pelajar adalah usaha murni.

“Pembabitan pelajar dalam jawatankuasa bagaimanapun tidak sesuai atas faktor mahasiswa adalah pihak yang dikawal selia dan mempunyai kepentingan dalam kes dibicarakan.

“Prinsip pengasingan kuasa harus dikekalkan,” katanya sambil menjelaskan ada ruang untuk kerajaan mengukuhkan AUKU dari semasa ke semasa dan akta itu bukan bersifat statik.

Selain itu, beliau berkata pindaan terbaharu AUKU turut memberi ruang kepada mahasiswa menjalankan aktiviti tanpa perlu memohon kelulusan daripada pentadbiran universiti.

Ia dengan sendirinya menyelesaikan isu birokrasi yang sering dibangkitkan pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini