comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik Timur Tengah, kerajaan sedia hadapi kemungkinan perubahan ibadah haji

Foto hiasan

ALOR SETAR: Kerajaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan perubahan yang akan berlaku semasa musim haji berikutan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ketika ini pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sudah berada di landasan yang betul kerana mempunyai sistem sokongan yang menyeluruh dan kukuh untuk jemaah menunaikan haji dengan selamat dan sempurna.

“Kita tak boleh nafikan (konflik Timur Tengah) ada yang mempengaruhi. Namun begitu, setelah apa yang diumumkan oleh Menteri (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) sebelum ini bahawa kita ‘on the track’, maknanya kita akan teruskan dengan apa yang ada dan kita sentiasa bersedia dengan apa-apa perubahan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dua dari kiri) ketika menyerahkan sumbangan pek Aidilfitri kepada asnaf dan guru agama pada Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di Alor Setar hari ini.- Foto: NSTP

Sebelum ini media melaporkan jemaah haji dinasihatkan untuk tidak bimbang dengan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji susulan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sudah semestinya menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Arab Saudi untuk memberi tumpuan terutama daripada aspek keselamatan jemaah haji bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata TH akan memberi maklumat terkini dari masa ke masa sekiranya berlaku sebarang perubahan.

Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun.

Malaysia dijangka menghantar seramai 31,600 orang jemaah haji seperti yang ditetapkan dalam kuota rasmi oleh kerajaan Arab Saudi sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini