comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsert Ed Sheeran diteruskan, lepasi saringan JK-PUSPAL

ED Sheeran dijangka membuat konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari. – FOTO: REUTERS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Konsert artis luar negara, Ed Sheeran akan berlangsung seperti dijadual setakat ini kerana mematuhi garis panduan penganjuran konsert.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, beliau sudah merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

“Saya terima baik pandangan daripada Mufti Pulau Pinang (Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor) mengenai perkara ini, namun antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui jawatankuasa PUSPAL adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Mufti Pulau Pinang berhubung penganjuran konsert Ed Sheeran yang memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.

Beliau kesal dengan penganjuran konsert membabitkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)

Konsert Ed Sheeran dijadual pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, ibu negara.

Artis berkenaan didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di stadium sama.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, buat masa ini tiada sebarang perubahan kepada kelulusan permohonan untuk mengadakan konsert terbabit.

Bagaimanapun, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan sekiranya tindakan perlu diambil.

“Buat masa ini, ya (konsert masih boleh diteruskan),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini