comscore
Tumpuan :
Sukan

Giliran Ed Sheeran lanyak ‘SNBJ’

ED Sheeran dijangka membuat konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari tahun depan. FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR: Belum reda ‘kemarahan’ peminat bola sepak tempatan melihat keadaan padang yang rosak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi final Piala Malaysia, pertemuan Johor Darul Ta’zim – Terengganu FC Jumaat lalu, menyusul pula berita, satu lagi konsert artis luar negara bakal berlangsung di SNBJ.

Konsert artis terkenal Britain, Ed Sheeran kemungkinan besar tetap diteruskan di SNBJ pada 24 Februari tahun hadapan berdasarkan kepada tinjauan di laman sosial golive-asia.com yang mendapati tiket berkenaan sudah mula dibuka untuk jualan kepada orang ramai bermula 25 Oktober lalu dengan penjualan tiket menerusi sesi pertama itu sudah habis ditempah.

Orang ramai masih lagi boleh mendapatkan tiket berkenaan menerusi laman web disediakan dan setakat ini boleh dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat penyanyi itu di negara ini.

Malah, menerusi hantaran poster konsert berkenaan, seorang lagi penyanyi Calum Scott akan dibawa sebagai penyanyi jemputan dalam konsert itu.

Ini adalah kali ketiga Ed Sheeran pernah membuat persembahan di SNBJ dengan jumlah kehadiran penonton lebih 40,000.

Ini bermakna, SNBJ kemungkinan besar akan sekali lagi ‘dihenyak’ seperti terjadi pada konsert Coldplay pada 22 November lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM sebelum ini memaklumkan masih percaya kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan terus memberi mandat kepada PSM  memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil sedia untuk digunakan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed yakin  PSM sudah belajar daripada kesilapan bagi memastikan keadaan padang SNBJ bersedia sepenuhnya.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac dan jika konsert Ed Sheeran diteruskan,  bermakna.dalam tempoh sebulan, PSM mesti memastikan SNBJ tidak ‘tercemar’  dan kekal sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya untuk perlawanan  itu nanti.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini