comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsert Viral Lagu TikTok dipindahkan ke Stadium Batu Kawan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGETOWN:  Konsert Viral Lagu TikTok yang sepatutnya diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas pada 30 September depan, dipindahkan ke Stadium Batu Kawan, susulan bantahan penduduk mengenai penganjuran konsert terbabit di kawasan mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata,  lokasi konsert itu dipindahkan dan ia mendapat persetujuan pihak penganjur.

“Saya difahamkan pihak penganjur pun bersetuju untuk pindah lokasi dan sekarang ini mereka boleh uruskan perkara itu dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai pihak yang mengeluarkan permit,” katanya sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meminta MBSP membatalkan kelulusan Konsert Viral Lagu TikTok selepas mendapat bantahan penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

Artikel berkaitan : Kerajaan negeri arah batal Konsert Viral Lagu TikTok

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam dilaporkan berkata, penganjuran konsert itu dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar surat bantahan untuk pertimbangan membatalkan konsert terbabit yang didapati tidak bersesuaian diadakan di kawasan berkenaan.

Baru-baru ini, tular poster memaparkan beberapa artis tempatan dan Indonesia yang akan mengadakan Konsert Viral Lagu TikTok Malaysia-Indonesia di Kepala Batas yang mendapat tentangan warganet dan penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

Difahamkan Datuk Bandar MBSP Datuk Azhar Arshad akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini