comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan negeri arah batal Konsert Viral Lagu TikTok

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diarah membatalkan kelulusan Konsert Viral Lagu TikTok yang dijadualkan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas 30 September depan.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dalam satu kenyataannya di Facebook (FB) berkata kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert berkenaan.

“Justeru, saya meminta pihak berkuasa tempatan iaitu MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan.

“Walau bagaimanapun, pihak penganjur memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

“Konsert itu mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Beliau berkata, warga setempat turut mengemukakan bantahan rasmi mereka terhadap Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menghantar surat bantahan kepada MBSP untuk pertimbangan membatalkan konsert terbabit yang didapati tidak bersesuaian diadakan di kawasan berkenaan.

Baru-baru ini, tular poster memaparkan beberapa artis tempatan dan Indonesia yang akan mengadakan Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia-Indonesia di Kepala Batas yang mendapat tentangan warganet dan penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

Apatah lagi, artis yang membarisi konsert terbabit terdiri daripada penyanyi dangdut yang didakwa akan menyebabkan masalah sosial terutamanya dalam kalangan anak muda.

Loading...
Terkini