comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontraktor rugi RM625,577, mangsa pelaburan tidak wujud

KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor kerugian RM625,577 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menerima ‘petua’ berkaitan pelaburan melalui aplikasi WhatsApp pada 3 Disember 2013.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan bernama ‘X-1 GS (Asia) Securities Division’ pada 3 Januari lalu.

Katanya, melalui kumpulan media sosial itu, ia menyalurkan petua saham Malaysia yang konon akan meningkat dan kebanyakannya disertai dengan testimoni pelabur menerima keuntungan.

“Pada masa sama, pihak berkenaan menawarkan untuk menanggung kerugian sebanyak 75 peratus atas pelaburan yang dibuat dan mangsa mendaftarkan di platform yang diberikan oleh pihak syarikat untuk aktiviti pelaburan pada 6 Februari lalu.

“Mangsa membuat pindahan ke akaun syarikat pelaburan itu sebanyak RM625,577 bermula 12 Februari lalu sebelum dikeluarkan daripada kumpulan berkenaan pada 6 April lalu.

“Malah, ‘group’ berkenaan juga didapati tidak aktif dan mangsa membuat laporan polis pada 16 April lalu selepas gagal menghubungi pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazli berkata, sebanyak 1,588 laporan membabitkan kes jenayah komersial diterima dalam tempoh bermula 1 Januari sehingga 13 April lalu berbanding 1,838 laporan pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 318 kertas siasatan dibuka berbanding 416 kertas siasatan yang dibuka pada tempoh sama tahun lalu.

“Kita juga menerima sebanyak 98 laporan polis dalam tempoh seminggu bermula 14 April lalu berbanding hanya 58 laporan pada minggu sebelumnya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM 1,327,004,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui pautan, https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang pindahan wang ke dalam akaun yang tidak pasti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini