comscore
Tumpuan :
Nasional

Koperasi wadah budaya keusahawanan belia tingkat tahap ekonomi – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) 4.0 di Kota Kinabalu.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Belia di Malaysia wajar menjadikan gerakan koperasi dan bidang keusahawanan sebagai satu budaya untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata belia tidak seharusnya melihat koperasi sebagai sebuah badan sukarela semata-mata sebaliknya wadah mewujudkan jati diri perniagaan seterusnya menanam budaya keusahawanan dalam diri mereka.

“Jadikan ia (koperasi dan keusahawanan) sebagai kerjaya dan jangan terlalu melihat (perniagaan berbentuk) produk sahaja tetapi juga perkhidmatan, selain itu lihat juga aspek bagaimana ia dapat memberi keutamaan kepada belia di luar bandar supaya ia terimbang pertumbuhan ekonominya.

Saya juga melihat koperasi perlu main peranan dalam usaha mewujudkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia melalui latihan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) 4.0 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sektor koperasi dan keusahawanan juga mampu memainkan peranan ke arah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

“Bidang ini bukan hanya kerja makan gaji tetapi juga keusahawanan, justeru kita bekerjasama bukan (bergerak secara) solo ke arah hasrat ini dan kita harap usaha ini (mengurangkan pengangguran belia) dapat kita realisasikan menerusi pelbagai kementerian, juga kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan melalui agensi berkaitan terutama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mempunyai pelbagai mekanisme untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia terlibat dalam bidang itu antaranya melalui pembiayaan serta bimbingan perniagaan.

Ahmad Zahid juga berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, memaklumkan bahawa kadar pengangguran bagi rakyat Malaysia berumur 24 tahun ke bawah kekal di atas 10 peratus dan ia antara perkara yang menjadi keutamaan kerajaan untuk dikurangkan.

“Menerusi Belanjawan 2023, beberapa langkah telah diketengah bagi membantu belia dalam menghadapi kos sara hidup dan meringankan beban ekonomi mereka tanpa mengira latar belakang sosioekonomi termasuk akses kepada pembiayaan serta program peningkatan kemahiran,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan APCYS 4.0.

Justeru, beliau yakin sektor koperasi adalah antara peluang terbaik untuk belia mengembangkan kemampuan keusahawanan mereka sekali gus meningkatkan kebolehpasaran golongan itu.

“Membangunkan golongan belia sebagai penyumbang konstruktif kepada pembangunan negara memerlukan usaha bersepadu yang melangkaui entiti dan kementerian merangkumi setiap aspek masyarakat  tanpa mengira peranan formal,” katanya.

Loading...
Terkini