comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos tinggi heret stalker ke mahkamah

Peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

KUALA LUMPUR: Isu kewangan antara cabaran utama mangsa dalam mengheret ‘stalker’ atau penghendap ke muka pengadilan. Peguam sivil dan jenayah, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata undang-undang sivil dan jenayah Malaysia sudah mencukupi untuk membela mereka yang menjadi mangsa penghendap terutama golongan wanita.

Artikel berkaitan: Jurufoto wanita dakwa 8 tahun diganggu ‘stalker’

“Selalunya walaupun undang-undang sivil itu sedia ada untuk menghalang stalker daripada bertindak atau terus bertindak, namun kos untuk mengambil tindakan terhadap stalker terlalu tinggi.

Contohnya, kalau mangsa mahu ambil tindakan injuksi dan saman kosnya mungkin antara RM15,000 ke RM20,000 untuk seorang stalker saja. Perkara inilah yang menjadi penghalang untuk mengambil tindakan sivil terhadap stalker,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dilema dihadapi wanita yang menjadi mangsa stalker.

Gambar hiasan

Mengulas lanjut beliau berkata tempoh masa diambil pihak berkuasa dalam bertindak terhadap laporan mangsa juga memainkan peranan.

“Selain masalah duit (kos heret stalker), cabaran lain ialah sama ada penguatkuasa mengambil tindakan itu secara cepat atau lama.

Bagi saya kes hendap biasa macam terpacak depan rumah, bukan priority (keutamaan) melainkan ada ugutan dan ancaman bunuh, gangguan jenayah seksual seperti rogol, mendekati dan menyentuh tubuh badan yang boleh ganggu ketenteraman atau menjatuhkan maruah mangsa.

Semua ini pun sebenarnya memang sudah sedia ada dalam undang-undang kanun keseksaan dan multimedia,” katanya.

Katanya, masyarakat tidak boleh mengelak isu ini daripada berlaku kerana kehidupan zaman moden ini segalanya hanya di hujung jari, namun individu itu sendiri memainkan peranan mengurangkan risiko menjadi mangsa.

“Sejak sebelum Internet ada dulu lagi sampai sekarang, manusia semakin gila itu memang sudah wujud.

Nasihat saya, kalau hendak selamat terutama wanita, jangan terlalu menonjol atau menunjuk-nunjuk kehidupan atau kecantikan terutama di media sosial.

Dalam Islam pun ada mengajar kita perlu hidup bersederhana, jadi golongan wanita tidak seharusnya berlebih-lebihan sebab contohnya kalau terlalu menonjol cantik, akan memberi ancaman, tarik lebih banyak perhatian,” katanya.

Loading...
Terkini