comscore
Tumpuan :
Nasional

Kotor, busuk, dua kilang proses makanan diarah tutup

HULU SELANGOR: Dua kilang memproses makanan di daerah ini diarah tutup selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kilang menghasilkan tauhu telur dan mi yang masing-masing beroperasi di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung mendapat markah kebersihan di bawah 60 peratus.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjalankan pemeriksaan bersepadu di dua kilang terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berada dalam keadaan kotor, tiada penyelenggaraan dan kawalan kebersihan.

“Selain itu, terdapat juga serangga perosak dan penyimpanan bahan yang tidak teratur sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan.

MPHS berkata, premis terbabit juga mengalirkan cecair dari kilang ke dalam longkang awam dan menyebabkan ia tersumbat serta berbau busuk.

“Sebanyak tujuh notis Seksyen 32B dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM15,500 kepada pemilik kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Premis Makanan 2007.

“Pada masa sama, MPHS juga mengeluarkan 11 kompaun terhadap kedua-dua kilang meliputi kesalahan tidak mengadakan kawalan serangga perosak, membuang enfluen ke dalam longkang awam, keadaan premis yang kotor, penyusunan stor penyimpanan dan penyediaan makanan yang tidak mengikut peraturan dan menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan,” katanya.

Operasi akan terus dijalankan bagi memastikan premis berkaitan makanan patuh undang-undang dan kualiti produk dihasil selamat.

Loading...
Terkini