comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Perak tumpas sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi

 

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson di Teluk Intan pada pagi Jumaat.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman, dalam serbuan pada jam 10.45 pagi itu, dua lelaki berusia 42 dan 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, serbuan berkenaan dilakukan susulan hasil risikan yang dijalankan oleh anggota penguatkuasa selama seminggu.

Hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati terdapat 41 buah tangki fiber berkapasiti 1,000 liter berisi minyak disyaki diesel.

Turut ditemui sebuah lori dengan muatan 2 buah tangki fiber juga berisi minyak disyaki diesel.

Susulan itu, KPDN Teluk Intan, bertindak menyita sebanyak 36,300 liter minyak disyaki diesel dan sebuah lori, menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM78,045.

Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati premis berkenaan disyaki telah beroperasi lebih kurang sebulan tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

Siasatan awal juga mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Teluk Intan, dikumpulkan dan seterusnya dipercayai akan dijual kepada pihak industri di negeri sempadan.

Menurut Saifullizan lagi, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenalpasti rangkaian sindiket yang terlibat.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Loading...
Terkini