comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN tegas melawan kempen antisawit – Armizan

Foto hiasan

BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, industri kelapa sawit penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan semua pihak mempertahan perniagaan itu daripada sebarang diskriminasi.

Beliau berkata, tidak ada alasan untuk KPDN serta kementerian dan agensi lain untuk berdiam diri terhadap sebarang kempen memboikot produk kelapa sawit.

Katanya, KPDN menyambut baik kerjasama rentas kementerian dan agensi dalam penguatkuasaan terhadap produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Langkah kerjasama membabitkan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) katanya, dapat mengukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap produk yang terbabit dalam kempen boikot itu.

“Kita mengalu-alukan saranan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani agar Kastam dapat meningkatkan penguatkuasaan dari awal kemasukan.

Foto: NSTP

“Ini akan melengkapkan ekosistem bukan saja penguatkuasaan KPDN apabila produk itu sudah sampai di premis perniagaan tetapi kawal selia itu sudah bermula dari pintu masuk negara,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani, berkata kementeriannya akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

Beliau turut memberi amaran kepada peruncit, pemborong dan pengimport yang pihaknya akan tegas menguat kuasa Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Amaran dan penegasan itu dibuat susulan tindakan KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusan produk itu.

Ketika ditanya mengenai status terkini audit minyak masak peket bersubsidi dan pendedahan senarai syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan, Armizan berkata, proses itu berada pada peringkat akhir dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, proses audit yang bermula Oktober lalu hampir dilengkapkan dan sudah ada tindakan seperti pembatalan lesen pembungkusan beberapa syarikat.

Katanya, audit dan senarai lengkap akan diumumkan kemudian selepas mengambil kira langkah penambahbaikan.

“Kita bukan hanya jalankan audit tetapi turut melaksanakan langkah memperkemas perkara ini agar subsidi rakyat betul-betul sampai kepada kumpulan sasaran.

“Ini termasuk cadangan agar minyak masak peket tak dijual kepada warga asing.

“Pada saya, pelaksanaan perlu datang dengan mekanisme penguatkuasaan. Larangan tapi tidak ada mekanisme tak memadai.

“Ia perlu dilihat secara holistik daripada penyaluran, perlantikan serta penguatkuasaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini