comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN tumpas sindiket penyelewengan diesel subsidi di Port Dickson

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM113,750 di Port Dickson, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi di Jalan Bukit Palong diserbu pasukan penguat kuasa KPDN pada jam 11 malam.

Menurutnya serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 selepas mendapat maklumat awal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan risikan oleh pihaknya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis itu menemukan sebanyak 15,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan itu.

“Turut disita dua buah lori, paip penyambung, minyak diesel dan dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemukan di lokasi serbuan,”katanya.

Beliau berkata turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori tangki yang telah diubah suai bagi membeli diesel bersubsidi di stesen minyak di kawasan berhampiran sebelum dibawa ke stor haram  itu sebelum dijual di pasaran gelap,” katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi siasatan lanjut dan mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti berkenaan serta rangkaian pengedaran diesel termasuk sumber minyak diperoleh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini