comscore
Tumpuan :
Nasional

KPLB peruntuk RM15.5 juta bagi Projek Desa Lestari di Pahang

Petani melakukan kerja memetik buah nanas di Ladang Alor Bukit, Pekan Nanas Pontian. FOTO: NSTP

KUANTAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM15.5 juta di bawah Projek Desa Lestari kepada 15 kampung di Pahang, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata dana itu membolehkan projek daripada enam sektor ekonomi utama iaitu perkhidmatan, pelancongan, pertanian, penternakan, pembuatan dan peruncitan dilaksanakan dengan efisien.

Selain itu, projek tersebut juga telah memanfaatkan 4,500 orang komuniti setempat dalam penyediaan peluang pekerjaan manakala 1,180 orang komuniti kampung termasuk ketua isi rumah menganggotai koperasi yang memberikan pulangan dalam bentuk dividen.

“Dari sudut pencapaian pula, RM9.5 juta telah berjaya dijana oleh 15 kampung terbabit. Kampung Sri Makmur di Pekan adalah kampung yang meraih pendapatan tertinggi sebanyak RM3.7 juta sejak 2015 hingga 2021 dengan purata pendapatan tahunan sebanyak RM528,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, Pahang mencatatkan negeri kedua tertinggi menerima peruntukan di bawah projek tersebut yang bertujuan merapatkan jurang sosioekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar.

Beliau berkata selain sosioekonomi, tumpuan utama KPLB juga adalah merapatkan jurang digital menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya capaian Internet dapat diperluas ke kawasan luar bandar.

Ini juga membolehkan hasrat mendigitalkan usahawan luar bandar direalisasikan, selain galakan diberikan kepada koperasi di bawah Projek Desa Lestari memasarkan produk secara dalam talian melalui Program Desamall@KPLB dengan kerjasama platform terkemuka seperti Shopee dan Lazada.

Abdul Rahman berkata KPLB telah melengkapkan 191 Pusat Komuniti Desa dengan akses Internet untuk kegunaan masyarakat luar bandar dalam pelbagai urusan yang mampu menjimatkan masa dan tenaga berbanding menyelesaikan urusan secara konvensional. – BERNAMA

Loading...
Terkini