comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM Lancar Fasa Pertama Pemasangan Lokar Melibatkan 626 Sekolah Rendah

| Oleh Mieza Shafieza Mohd Fuad

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini buat julung kalinya melancarkan penyerahan fasa pertama lokar sebagai salah satu inisiatif menangani isu beg berat yang dihadapi oleh murid-murid sekolah rendah khususnya mereka di Tahun Satu hingga Tiga.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengurusan pembekalan lokar itu dilaksanakan pada tahun ini melibatkan hanya murid-murid yang berada dalam tahap 1 iaitu di Tahun Satu dan Dua.

Katanya, sebanyak 626 sekolah dua sesi terlibat merangkumi 249,646 bilangan lokar dan murid yang menerima manfaat daripada pemasangan tersebut.

“Inisiatif ini telah umumkan pada Mac 2022 dan pada hari ini, 5 Oktober kita lancarkan antara inisiatif yang paling besar dan tidak pernah dilancarkan oleh kementerian untuk bekalkan lokar ke sekolah-sekolah dua sesi.”

Beliau berkata demikian pada Inisiatif Menangani Beg Berat : Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia pada Rabu.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Datuk Dr Radzi, pemasangan lokar itu menelan kos sebanyak RM37.3 juta bagi fasa pertama dan fasa kedua yang akan diteruskan pada tahun hadapan bagi murid-murid Tahun Tiga hingga Enam.

“Kita akan selesaikan semua pemasangan dalam bulan Oktober ini. Ada lima sekolah dah pasang sepenuhnya dan berbaki 33 sekolah akan selesai pemasangan sebelum akhir bulan ini.”

Selain penyediaan lokar, beliau memberitahu KPM turut menggariskan enam ketetapan lain bagi menangani masalah yang sama.

Ia termasuk penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan buku kerja murid, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam pada itu, Datuk Dr Radzi turut menegaskan tanggungjawab memastikan murid-murid tidak lagi terbeban dengan muatan beg berat selepas pemasangan lokar memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Loading...
Terkini