comscore
Tumpuan :
Nasional

KPWKM cadang wujudkan kursus penjagaan orang berkeperluan khas

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Program Jalinan Kasih Beiersdorf bersama Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu dan Taman Sinar Harapan di Hulu Selangor.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

HULU SELANGOR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang untuk mewujudkan kursus penjagaan bagi individu berkeperluan khas.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu masih di peringkat awal perbincangan dan dijangka boleh dilaksanakan bermula tahun hadapan.

“Kami baru mulakan perbincangan ini. Ia memerlukan peruntukan kewangan dan paling cepat pun tahun depan dan berapa ramai yang (terlibat) itu perlu ada perancangan terperinci mengenai perkara ini, kerana kami perlu berbincang dengan Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan, apatah lagi perkara ini perlu dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

“Kami perlu perjuangkan ini supaya dipercepatkan program ini agar mereka (penjaga orang berkeperluan khas) dapat dibincangkan,” katanya dalam sidang media, selepas melancarkan Program Jalinan Kasih Beiersdorf bersama Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu dan Taman Sinar Harapan, di sini.

Tambahnya, perkara itu nanti dapat memberi pendidikan secara formal kepada mereka yang terlibat dalam bidang penjagaan terutama kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Kini, yang ada memulakan perkara itu adalah di sektor swasta. Bagi kerajaan, yang kita rekrut hanya mereka yang ada minat untuk membantu. kita amat menghargai mereka.

Tetapi alangkah lebih elok kalau mereka ada ilmu pengetahuan, kemahiran sesuai untuk menjaga mereka yang berkeperluan khas.

Mengangkat orang tua misalnya kena guna cara yang betul. Jika tidak ia boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada mereka. Untuk itu, penggunaan institusi sosial sebagai agensi utama dapat membantu kita dalam memberi kursus dan latihan ini,” katanya.

Loading...
Terkini