comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tapis calon pengasuh taska, KPWKM kerjasama dengan polis

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat tapisan keselamatan terhadap calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh di taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya mahu memastikan calon pengasuh dan pelindung berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya kes penderaan kanak-kanak di taska.

“Kita juga memberikan prosedur operasi standard (SOP) (kepada taska). Apabila kita dengar banyak kes, kita tambah lagi SOP, bukan untuk menyusahkan tapi mahu membantu taska itu.

“Sebab itu kita pastikan juga ada kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan kita memantau apa berlaku dalam taska dan memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah diambil kerajaan untuk mengelakkan kes penderaan dan kematian kanak-kanak di taska.

Menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai sama ada terdapat perancangan membuka taman asuhan kanak-kanak di bangunan kerajaan, Nancy berkata, sehingga Disember tahun lalu, terdapat 265 taska tempat kerja di seluruh negara.

Jumlah itu meliputi 221 taska yang disediakan majikan di sektor awam, manakala 44 taska lagi disediakan sektor swasta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini