comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuala Lumpur di tangga ke-13 pemandangan terindah dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menduduki tangga ke-13 pemandangan bandar paling indah di dunia.

Pengiktirafan itu dikongsi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di platform X beliau yang memetik grafik diterbitkan majalah antarabangsa Architectural Digest.

Beliau bangga dengan pengiktirafan itu apabila memperakui rekaan seni bina di negara ini yang turut mengadaptasi pelbagai budaya Malaysia dengan teknologi hijau.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar ciri-ciri itu boleh diketengah sebagai garis panduan dalam perancangan bandar pada masa akan datang.

“Seni bina yang bercirikan budaya Malaysia yang pelbagai dan teknologi hijau wajar dijadikan hala tuju baharu dalam perancangan bandar kita,” katanya hari ini.

Mengikut kedudukan yang diterbitkan portal antarabangsa itu, Manhattan berada di kedudukan pertama, disusuli Hong Kong, Chicago, Dubai, Tokyo, Perth, Sydney dan Shanghai.

Ia diikuti Singapura, Bangkok, Tianjin dan Panama City, Kuala Lumpur, Milwaukee, Auckland dan Toronto.

Artikel diterbitkan portal berkenaan menyifatkan pemilihan Kuala Lumpur bukan saja mengambil kira ketinggian Menara Berkembar PETRONAS tetapi ciri-ciri seni bina unik yang ada pada mercu tanda Malaysia.

Menurut Architectural Digest, Menara Berkembar PETRONAS yang direka oleh Cesar Pelli, menggembleng acuan seni bina gaya pasca moden dan diinspirasi daripada seni bina Islam.

Ditambah dengan latar belakang langit Kuala Lumpur mengindahkan lagi pemandangan menara yang menjadi mercu tanda negara ini.

Menara Berkembar PETRONAS bukan satu-satunya bangunan pencakar langit di ibu kota kerana kota metropolitan ini turut mempunyai 241 bangunan pencakar langit termasuk Merdeka 118 yang tersenarai bangunan kedua tertinggi dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini