comscore
Tumpuan :
Nasional

Kualiti air Sungai Kim Kim di kelas dua

PASIR GUDANG: Setelah 4 tahun, Sungai Kim Kim kini sudah jauh berubah.

Sungai yang pernah menjadi tempat pembuangan sisa toksik hingga mengakibatkan berlakunya pencemaran dan mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia ini, dilaporkan kualiti airnya semakin baik iaitu pada kelas dua berbanding kelas tiga sebelum ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata, peningkatan yang dianggap signifikan itu adalah hasil aktiviti penguatkuasaan seperti intipan dan pemantauan di sekitar Pasir Gudang.

Menurut Dr Mohd Famey, akibat kejadian itu, masyarakat juga lebih cakna terhadap isu pencemaran dengan menyalurkan maklumat dengan segera kepada Jas.

Kata Dr Mohd Famey, dalam tempoh empat tahun itu, pihaknya juga pernah menerima aduan berkaitan pencemaran namun ia bersifat pelepasan di punca maknanya di premis sebaliknya bukan pembuangan di tepi sungai.

“Saya berpendapat, penjenayah risau dan ada perasaan takut membuang toksik di tepi-tepi sungai kerana masyarakat kini lebih celik dan prihatin.

“Kami difahamkan, hidupan laut mula membiak di sungai berkenaan selain terdapat memerang,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang Datuk Asman Shah Abdul Rahman berkata, RM2 juta diperuntukkan bagi tujuan memulihara Sungai Kim Kim (sepanjang 17 kilometer) selepas insiden pencemaran itu.

Asman Shah berkata, satu jawatankuasa kelestarian Sungai Kim Kim ditubuhkan yang dianggotai oleh semua pemain industri selain itu pihak institusi pengajian tinggi (IPT) turut bertindak menggubal Dasar Pelan Tindakan Sungai Kim Kim.

“Isu pencemaran ini perlu pemantauan berterusan kita tahu juga sebagai manusia kita tidak mampu untuk menyelia atau memantau 24 jam atau tujuh hari seminggu.

“MBPG membuat dasar sejak 2021 yang mana kilang-kilang berpotensi di kategori industri berat mereka memasang smart pole.

“Smart pole ini dia akan berfungsi sebagai amaran sekiranya berlaku pencemaran. Kita boleh dapat maklumat berkaitan PH, pencemaran bunyi apa-apa pencemaran bahan kimia menerusi sistem berkenaan,” katanya.

Asman berkata, pihaknya juga yakin, sungai berkenaan akan berubah wajah menjadi sungai yang bersih sekali gus menjadi lokasi beriadah masyarakat sekitar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Loading...
Terkini