comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar mati pelajar: Ketua Polis Negara jamin siasatan telus, adil

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan, siasatan telus dan adil akan dilakukan membabitkan semua sudut, berhubung kejadian seorang pegawai kanan polis didakwa melanggar mati pelajar sekolah berusia 17 tahun semalam.

Beliau berkata, pegawai kanan polis berusia 44 tahun itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Polis tidak akan sesekali melindungi atau berkompromi dalam isu ini walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis.

“Saya sudah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri serta KP Perak bagi memantau siasat kes ini dengan rapi.

“Siasatan awal dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 namun polis juga akan melihat kepada keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen bersesuaian dengan kesalahan apabila siasatan lengkap kelak,” katanya.

Setakat ini, polis sudah merakam percakapan dan mengambil keterangan tujuh pelajar sekolah yang berada di lokasi kejadian.

“Polis juga mengalu-alukan saksi lain yang dapat menyalurkan maklumat kejadian kepada polis. Apabila lengkap siasatan nanti, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah ditahan berhubung kes kemalangan yang mengakibatkan kematian pelajar  Muhammad Zaharif Affendi, 17, semalam.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu, motosikal mangsa dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, Perak.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini