comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapan individu ditahan terbabit judi dalam talian

Antara suspek yang ditahan melalui Ops Dadu selepas disyaki terbabit kegiatan judi dalam talian. -Foto: NSTP

KUCHING: Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan melalui Ops Dadu selepas masing-masing disyaki terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sekitar daerah ini.

Semua suspek ditahan menerusi lapan serbuan berasingan sempena operasi yang diadakan antara 6 Februari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, mengesahkan penahanan itu susulan operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Daerah Kuching dengan kerjasama pasukan unit sama dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Hasil serbuan, kita merampas wang tunai RM649 dan lapan unit telefon bimbit serta beberapa keping keratan kertas bertulis kata laluan dan angka.

“Sehingga kini lapan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian dalam talian.

“Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda antara RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti perjudian di daerah terbabit.

Sebarang maklumat boleh disalurkan di balai polis berhampiran. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini