comscore
Tumpuan :
Nasional

10 ditahan, sindiket perisian judi haram tumpas

Foto hiasan

IPOH: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang membangunkan serta menyelenggara laman sesawang serta perisian perjudian melalui serbuan yang dijalankan di sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan perumahan sekitar bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata serbuan yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu turut berhasil menahan 10 individu warga tempatan.

Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun adalah antara 10 yang ditahan berusia antara 15 hingga 40 tahun itu.

Katanya, serbuan dibuat hasil daripada maklumat hasil pantauan dan risikan sejak beberapa minggu lalu apabila apabila sindiket berkenaan disyaki melakukan aktiviti operasi kegiatan pusat panggilan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, apabila pasukan serbuan memasuki rumah terbabit, didapati bahawa pusat panggilan berkenaan sedang menjalankan aktiviti judi dalam talian.

“Sindiket ini beroperasi dengan menyewa rumah teres dua tingkat di kawasan taman perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan judi secara dalam talian serta perisian atas permintaan pelanggan sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurutnya lagi, pasukan serbuan merampas sebuah komputer riba, set komputer (3), telefon bimbit pelbagai jenama (34 unit), modem (4), serta sehelai kertas mengandungi skrip perbualan.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, pihaknya dalam pada itu menggesa orang ramai agar memainkan peranan bagi menyekat promosi judi dalam talian dan aplikasi serta media sosial dengan mengemukakan laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Loading...
Terkini