comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Laporan penuh nahas helikopter TLDM diterbit esok

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu akan diterbitkan esok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Menteri Pertahanan maklumkan kepada Jemaah Menteri berhubung status terkini laporan penuh nahas helikopter. Beliau memaklumkan bahawa laporan telah siap dan akan diterbitkan esok,” katanya pada sidang media di sini.

Sehubungan itu, Fahmi meminta semua pihak untuk menantikan pengumuman penuh hasil siasatan terhadap nahas helikopter berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah berbincang secara mendalam mengenai insiden nahas helikopter di Pangkalan TLDM, Perak dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan.

Lembaga Siasatan mendedahkan lima fakta dalam laporan awal yang dikeluarkan pada 9 Mei lalu berhubung tragedi itu antaranya kesemua kru yang terbabit dalam insiden berkenaan berada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Fakta lain adalah dua helikopter itu disahkan berada dalam keadaan airworthy (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian serta kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment manufacturer (OEM).

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini