comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Lari dari diekori JPJ punca kemalangan maut di Sipitang

SIPITANG: Kereta Proton Saga yang dinaiki lima individu yang terbabas dan melanggar pokok tumbang di Jalan Jeti SFI, di sini, petang tadi dipercayai memecut laju sebaik menyedari kereta mereka diekori kenderaan Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian kira-kira jam 5.08 petang itu, pemandu kereta Proton Saga Mohd Khairul Abdullah, 19 dan penumpang belakang Norsiah@Bibi Faizal, 14, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi penumpang hadapan dan belakang berusia 8, 16 dan 17 tahun parah dan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan, Mail Sundongi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota JPJ Sipitang memaklumkan ada kes kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki lima individu.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang meninggal dunia manakala dua parah dan seorang cedera ringan.

“Hasil siasatan awal, kereta dinaiki mangsa dari sebuah pasar raya dan menghala pulang ke Kampung Sibubu, Jalan SFI.

“Ketika kereta dinaiki kelima-lima individu terbabit dalam perjalanan pulang, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang tugas rondaan mengekori kereta Proton Saga dari belakang dan memasang lampu ‘beacon light’.

“Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ, dia terus memecut laju dan sebaik tiba di jalan selekoh menuruni bukit kereta itu hilang kawalan hingga menyebabkan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar pokok tumbang dibahu jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa tersepit dikeluarkan pasukan bomba manakala mangsa yang cedera dibawa oleh ambulans ke Hospital Sipitang untuk rawatan lanjut.

“Kebiasannya JPJ memasang ‘beacon light’ supaya kenderaan berkenaan berhenti. Bagaimanapun siasatan masih dijalankan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sipitang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini