comscore
Tumpuan :
Nasional

Lari sekatan, rempuh polis hanya kerana motorsikal tiada cermin pandang sisi

Anggota polis yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan. Foto: NSTP

SHAH ALAM: Hanya kerana motorsikal tidak mempunyai cermin pandang sisi, seorang penunggang motorsikal bertindak merempuh seorang anggota trafik kerana cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Persiaran Perbandaran Seksyen 14, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Koperal Ahmad Haizaki Salimon, 42, cedera di muka dan badan, selain kini ditempatkan di zon merah Hospital Shah Alam bagi ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada bahagian kepala.

Dalam pada itu, penunggang motosikal berusia 21 tahun yang merempuh anggota trafik itu hanya mengalami cedera ringan dan turut dirawat di hospital sama.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Shah Alam Deputi Superintendan SH Roslee SH Mohd Norrani berkata, penunggang motosikal itu tidak sepatutnya melarikan diri hanya kerana ketiadaan cermin pandang sisi dan ia bukan kesalahan berat.

“Melarikan diri ketika sekatan jalan raya hanya membahayakan diri sendiri, anggota polis bertugas serta pengguna lain,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata, kejadian berlaku apabila penunggang motosikal melihat sekatan jalan raya Op Samseng Jalanan di hadapan laluannya berpatah balik dan melawan arus jalan untuk melarikan diri.

“Disebabkan panik, penunggang motosikal itu melanggar anggota polis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 186 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini