comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar pematuhan penunggang motosikal di Selangor meningkat

 

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Kadar pematuhan penunggang motosikal di Selangor meningkat dalam tempoh tiga minggu sepanjang pelaksanaan Op Khas Motosikal sejak 1 September lalu.

Malah, sejak minggu pertama pelaksanaan operasi itu, ia juga telah menyaksikan 60 peratus penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Pengarah, Perancangan dan Operasi, Jabatan Pengangkutan Jalan, (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak 1,038 motosikal telah disita kerana diklasifikasikan sebagai tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

 

“JPJ Selangor telah mengesan sebanyak 6,398 kesalahan melibatkan kesalahan tiada insuran kenderaan dan sebanyak 4,535 kesalahan melibatkan tiada lesen memandu direkodkan”

“Malah, 1,038 motosikal telah disita kerana diklasifikasikan tidak selamat untuk digunakan di atas jalan raya dan JPJ tidak akan berkompromi soal itu demi keselamatan pengguna” tegasnya pada sidang media Ops Bersepadu, di Plaza Tol Awan Besar, di sini, semalam.

Operasi itu turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan, (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Jabatan Alam Sekitar, (JAS).

 

Tambah beliau, sebanyak 1,458 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 856 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

“Pada malam ini, kesalahan paling banyak dikesan adalah melibatkan kesalahan tiada lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan iaitu sebanyak 281 kesalahan”, katanya.

Ops Bersepadu ini dijalankan bagi mengesan pemandu yang menggunakan barang terlarang seperti dadah, kenderaan yang diguna untuk tujuan jenayah selain meningkat kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Tindakan JPJ menguatkuasakan undang-undang terutama tiada cukai jalan dan lesen memandu adalah demi kebaikan semua pihak.

Loading...
Terkini