comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan rasmi Li Qiang lembaran bersejarah Malaysia-China

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi rakan sejawatnya dari China, Li Qiang ke Malaysia menjadi lembaran bersejarah buat kedua-dua negara.

Menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri China berkenaan, Anwar berkata, lawatan selama tiga hari itu dianggap sebagai lawatan besar dan peristiwa penting dalam memperkukuh hubungan dua hala.

“Saya mesti mengatakan bahawa kami telah mengadakan perbincangan mendalam meliputi pelbagai isu seperti pelaburan perdagangan, infrastruktur, budaya, pendidikan dan pelancongan.

“Saya berpendapat hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan China adalah sesuatu yang kami sanjungi dan akan mempamerkan bagaimana Malaysia dan China boleh menjadi rakan kerjasama yang hebat dalam bidang ekonomi dan semua bidang pembangunan insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, di sini hari ini, sebelum menyempurnakan majlis tersebut bersama Li.

Terdahulu, Anwar dan Li mengadakan pertemuan empat mata di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Li tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lalu.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

 

Loading...
Terkini