comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 aduan gangguan seksual dalam kalangan lelaki diterima

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 aduan gangguan seksual membabitkan golongan lelaki diterima menerusi Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata lebih membimbangkan, angka aduan membabitkan mangsa lelaki meningkat dari sehari ke sehari.

“Kalau dulu, masa kita mula program PSSS, laporan yang diterima hanya berbelas sahaja. Tetapi apabila kita bergerak secara aktif, mereka mula mengadu kepada kaunselor KPWKM dan bukannya pada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @ Antigangguan Seksual anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang diluluskan pada 28 Mac tahun lalu, sudah dilaksanakan secara berperingkat.

Datuk Seri Nancy Shukri bersama peserta Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @ Antigangguan Seksual Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan Kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.-Foto: NSTP

Katanya, pada 11 Mac lalu, Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sudah mula beroperasi untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac lalu.

TAGS berfungsi sebagai satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku untuk mendapatkan hak tebus rugi akibat daripada gangguan yang dialami.

“Penubuhannya bukanlah bertujuan untuk mengambil alih fungsi mahkamah, sebaliknya memberikan pilihan kepada mangsa sama ada membuat aduan di TAGS atau pun mengambil tindakan sivil di mahkamah,” katanya.

Menurut Nancy, Seksyen 8 (Akta 840) menyatakan bahawa tiada pertindihan bidang kuasa di antara TAGS dan mahkamah sivil.

Jelasnya, dalam masa yang sama, mangsa masih boleh membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan bagi membolehkan tindakan jenayah dapat diambil terhadap pelaku.

Dengan TAGS adalah kos yang ditanggung hanya membabitkan yuran pemfailan borang aduan sebanyak RM30 dan sekiranya pernyataan pembelaan difailkan ia hanya berjumlah RM10.

“Selain itu, pembuktian aduan gangguan seksual adalah secara imbangan kebarangkalian dan tiada keperluan untuk melantik peguam bela atau peguam cara,” katanya.

Tambahnya, pendengaran TAGS dijalankan secara tertutup di hadapan tiga anggota panel berwibawa.

Dan sekiranya elemen penganiayaan berlaku, ia boleh ditangani menerusi perundangan sedia ada seperti Mahkamah Perusahaan.

Atau, sekiranya membabitkan ancaman atau ugutan yang bersifat jenayah, ia boleh dirujuk kepada pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini