comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 2.5 juta kompaun saman trafik dikeluar PDRM dalam tempoh 8 bulan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.56 juta kompaun saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 1.52 juta saman K257 iaitu secara bersemuka manakala 1.03 juta kompaun K170A membabitkan kesalahan dikesan PDRM melalui kamera atau penguatkuasaan dijalankan.

Menurutnya, saman tertinggi dikeluarkan membabitkan kesalahan tanda trafik iaitu 985,635 saman.

“Antaranya memandu melebihi had laju ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 555,002 saman lesen dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen sah atau lesen yang tamat tempoh,” katanya.

Dalam pada itu Mat Kasim berkata, sebanyak 205,464 saman membabitkan kes kemalangan manakala 187,120 keping kompaun terhadap kesalahan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sebanyak 154,369 saman turut dikeluarkan terhadap kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Contohnya apabila kenderaan rosak, mereka (pemandu) gagal meletakkan penanda segi tiga hingga berlakunya kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerusi JSPT akan sentiasa melakukan penguatkuasaan dan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan ditetapkan.

“Antaranya saman ekor yang dilaksanakan bermula 21 Ogos lalu. Itu bagi bertujuan untuk mendidik pemandu supaya menggunakan jalan raya dengan berhemah.

“Terutamanya apabila kesalahan memandu melebihi had laju antara penyumbang utama kemalangan,” katanya.

Loading...
Terkini