comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 500 lokasi ‘hotspot’ banjir di Kelantan

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti lebih 500 lokasi ‘hotspot’ atau kawasan panas sering berlakunya bencana banjir.

Timbalan Pengarahnya, Anwar Abu Bakar, berkata antara lokasi tumpuan banjir termasuklah Kampung Tersang dan Kampung Gual To’ Deh masing-masing di Rantau Panjang serta Kampung Temila di Pasir Puteh.

Katanya, tumpuan diberikan di Rantau Panjang kerana kerap berlakunya kejadian banjir berulang termasuk beberapa kawasan rendah yang mudah terdedah kepada banjir kilat.

“Pengalaman Disember lalu memberi kesan terhadap ramai penduduk dan kediaman yang tidak pernah banjir turut ditenggelami banjir.

“Pihak kami akan meningkat tahap rondaan membabitkan anggota dari balai berdekatan apabila hujan lebat melanda kawasan ‘hot spot’ secara berterusan.

“Walaupun keadaan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu, pihaknya sentiasa dalam keadaan yang bersiap siaga dan berharap tidak ada insiden banjir besar melanda pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Rondaan Sempena Musim Perayaan Tahun 2023 di Pasaraya Aeon, di sini, hari ini.

Anwar berkata pada masa sama, aset tambahan iaitu bot yang sebelum ini berjumlah 42 buah kini bertambah kepada 50 buah termasuk bantuan daripada JBPM Terengganu yang akan digunakan bagi tujuan operasi menyelamat mangsa banjir.

“Selain itu, anggota juga akan ditambah di lokasi tumpuan banjir dan sekiranya banjir gelombang ketiga yang luar di luar jangkaan, cuti kesemua anggota akan dibekukan serta merta.

“Pada masa sama, penduduk juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah bersiap sedia apabila keadaan hujan berterusan,” katanya.

Loading...
Terkini