comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited lahirkan golongan teknousahawan – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah TeknouSahawan TVET@KKDW 2023 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur malam tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk melahirkan golongan usahawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau teknousahawan yang berjaya untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang yang mampu meneroka pasaran sehingga ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, hasil bimbingan dan latihan agensi kerajaan, golongan itu sudah mula wujud namun belum sampai ke tahap boleh dibanggakan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dalam mendepani arus revolusi teknologi semakin pantas, negara perlu melahirkan golongan teknousahawan yang bukan saja mampu mengusahakan perniagaan, malah mempunyai pengetahuan saintifik dan kemahiran teknologi.

“Bagi melahirkan golongan ini, ia bukan hanya hasil dorongan daripada pihak kerajaan melalui kewujudan institusinya semata-mata tetapi individu itu sendiri perlu memunculkan diri sebagai teknousahawan yang berjaya.

“Bagi saya, TVET bukan hanya bertujuan untuk mewujudkan golongan teknikal yang akan berada di pasaran tapi pada masa sama, menyediakan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW di sini, malam tadi.

Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW mula diperkenalkan pada 2023 yang memberi pengiktirafan kepada institusi, pengajar, pelajar, graduan dan alumni yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang keusahawanan TVET.

Selain menyediakan graduan untuk pasaran pekerjaan, TVET@KKDW turut memfokuskan kepada pembangunan teknousahawan, iaitu bidang keusahawanan yang menggunapakai teknologi dalam pengeluaran produk, pengurusan perniagaan dan pembuatan keputusan berkaitan perniagaan.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan tujuh anugerah bagi tiga kategori, iaitu bagi institusi, individu dan ikon.

Menyorot permulaan Program TeknoUsahawan di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2006, Ahmad Zahid berkata, ia bermula dengan program inkubator di institusi kemahiran, yang kemudian berkembang dengan program lain, seperti Program Keusahawanan Digital (eUsahawan), Program Mobile Technical Services, Program Diploma Teknousahawan, Training & Income Generation (TRIG), Program Teknoputra, Mobilepreneur dan Program Keusahawanan Sosial.

Katanya, sebagai pelopor utama yang mewujudkan ramai usahawan sejak lebih setengah abad lalu, MARA melalui pelaksanaan model pendidikan keusahawanan seperti MARA Startup and Accelarator Edupreneur Model (MSEAD) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa), pelbagai program keusahawanan dibentuk menjadi lebih berstruktur dan holistik.

“Saya percaya, sudah sampai masanya program pendidikan sedia ada diperkasa dan pendekatannya diberi nafas baharu supaya usahawan sedia ada atau yang bakal dilahirkan sentiasa lestari dan kekal mampan dalam pasaran.

“Program keusahawanan ini juga wajar diberi penekanan oleh institusi TVET di bawah agensi KKDW, selain MARA,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini